Monday 16 January 2012

Cerpen: Perihal Cinta; Prequel

Dziyab melangkah masuk ke dalam rumahnya dengan langkah yang berat setelah dia keluar dari kereta Prius miliknya. Sekembalinya dari mesyuarat sebentar tadi, kepalanya sesak dengan pelbagai bebanan yang disebabkan oleh kerjanya itu. Benar, dia amat sayangkan pekerjaannya di firma swasta itu, namun bebanan kerja yang berat yang harus dihadapinya kadang-kala membuatkan fikirannya bercelaru dengan mudah. Menjadikan anginnya kadang-kala tidak menentu. Terutamanya jika firma sedang merencanakan untuk melaksanakan projek baru. Otaknya harus diperah sepenuhnya agar semuanya dapat berjalan dengan lancar.

Prius.

Dia membuka pintu dan matanya segera mencari Qistina, yang ketika itu sedang tidur dengan nyenyak di atas sofa dengan peti televisyen masih lagi bernyawa. Senyuman tanpa paksa terukir di bibirnya secara semula jadi. Perlahan-lahan dia melangkah ke sofa itu dan duduk di atas karpet tebal, menatap dan merenung wajah isterinya yang sedang tidur itu. Diambil alat kawalan jauh yang terletak di sebelah tangan isterinya dan ditutup peti televisyen, menjadikan ruang tamu itu sunyi sepi tanpa sebarang bunyi. Wajahnya langsung tidak dipanggungkan dari menatap wajah isterinya.

Melihat wajah isteri tersayangnya itu, entah bagaimana fikirannya yang bercelaru dengan pelbagai masalah tadi menjadi tenang – tenang-setenangnya. Fikirannya melayang, memikirkan bahawa saat ini sudah lebih dari dua tahun dia telah berkahwin dengan Qistina. Hatinya kembang dengan perasaan bahagia. Dikuis sedikit anak rambut yang menutup sebahagian wajah isterinya dengan berhati-hati agar tidak menggangu tidur isterinya. Namun gerakannya yang sedikit itu telah membuatkan isterinya jaga dari tidurnya.

Qistina membuka matanya perlahan-lahan dan wajah suami tersayangnya semakin jelas menghiasi penglihatannya. Segera dia membetulkan duduk dan menyambut tangan suaminya untuk disalam dan dikucup. “Dah lama ke abang balik ni? Maaf, tertidur tadi langsung tak perasan abang dah balik.” Qistina bersuara setelah Dziyab duduk di sampingnya sambil menahan kantuk.

Dziyab menggelengkan kepalanya sedikit. “Tak lama pun. Baru je sampai ni.” Tangannya sengaja dilingkarkan di pinggang isterinya. Pipi isterinya dikucup perlahan, namun penuh mesra.

Qistina hanya mengangguk. Sedang ketika itu bibirnya diketap sambil otaknya ligat menyusun kata untuk menyampaikan suatu perkhabaran kepada suaminya itu. Badannya disandarkan ke badan suaminya, mencari posisi yang selesa.

“Qis, ada nak cakap apa-apa ke?” Dziyab bertanya sambil rangkulan di pinggang isterinya dikejapkan sedikit. Agak aneh dengan perilaku Qistina yang tidak seperti kebiasaan pada malam itu. Lazimnya, isterinya rajin bercerita tentang apa yang dilaluinya sepanjang hari, tidak seperti waktu ini.

“Hm, sebenarnya kan...” Qistina terhenti dan tunduk. Otaknya masih merangka ayat yang terbaik untuk menyampaikan berita itu.

“Ya...” Dziyab bertanya, perlahan.

“Hm...” Qistina menyeluk saku seluar yang dipakainya dan menyerahkan satu alat sebesar tapak tangan kepada suaminya, berharap agar Dziyab memahami isyarat dan berita yang ingin disampaikannya itu.

Dziyab menyambut dan meneliti alat yang berada di telapak tangannya dengan penuh minat. Dia seperti pernah melihat alat itu, namun dia benar-benar terlupa. Satu persatu kotak memorinya dibuka, cuba mengingati perihal alat kecil itu. Hampir lima minit ruang tamu itu sunyi sepi, memerah otak untuk mengingati alat itu dan mentafsir berita yang ingin disampaikan isterinya, sebelum dia hampir pasti dan memandang wajah isterinya yang semakin merah waktu itu. “Qis... Qis mengandung ke?” Dia memegang kedua-dua bahu isterinya, cuba mengalihkan perhatian Qistina agar memberikan tumpuan kepada hanya dirinya.

Urine Pregnancy Test @ UPT

Perlahan-lahan Qistina mengangguk, mengiakan telahan yang dibuat suaminya. Dia memandang suaminya yang sedang tersenyum lebar, dan tidak dapat tidak, dia juga tersenyum – bahagia.

“Alhamdulillah, terima kasih ya Allah.” Bisik Dziyab.



Qistina duduk berteleku di sebelah suaminya yang sedang tidur nyenyak di atas sofa berhadapan set televisyen di rumah mertuanya. Khusyuk meneliti wajah suaminya hinggalah matanya jatuh ke arah jari kelingking suaminya yang dihiasi dengan cincin perak miliknya suatu ketika dahulu. 

"forever love" ukiran di cincin yang pernah menjadi milik Qistina dahulu.

“Tidur lagi Dziyab ni?” Mak menegur Qistina yang sedang mengelamun sewaktu itu.

Qistina mengangguk, perlahan. Mengerti bahawa suaminya kepenatan. “Malam tadi abang overtime. Sebenarnya kami tak rancang pun nak balik minggu ni, mak.” Qistina mengangkat muka sedikit, memandang ibu mertuanya. Benar, atas suatu berita mereka pulang melawat keluarnya Dziyab di Seremban hari itu. Dia juga sedar bahawa tidak elok untuk tidur selepas Asar, namun suaminya terlalu penat ketika itu. Apatah lagi mereka terus pulang ke kampung setelah mendapatkan pengesahan dari doktor mengenai kehamilan Qistina itu.

Mak ingin bertanya kenapa anak lelaki tunggalnya itu terlalu penat, namun melihat wajah Qistina yang sedikit pucat, namun berseri-seri itu, hatinya dapat menangkap maksut yang tersirat. “Hm, takpelah. Mak nak bersihkan ayam kat dapur ni, ye? Lepas tu nak masak makan malam terus.”

Qistina hampir bangun untuk mengikuti ibu mertuanya ke dapur, namun dihalang.

“Kamu ni, rehat banyak-banyak ajelah. Nanti Dziyab sebal pulak dengan kamu. Bukan kamu tak tahu angin dia tu.” Mak tersenyum senang dapat mengusik menantunya yang seorang itu.

Qistina tertunduk malu, tona merah pada wajahnya yang cerah itu semakin jelas.



Qistina setia melayan suaminya di meja makan, langsung tidak kekok walaupun mereka dikelilingi ahli keluarga Dziyab yang lain.

Dziyab hanya tersenyum, bahagia. “Mak, abah. Kami ada benda nak umumkan ni.” Dziyab berkata sewaktu mereka sedang menjamu selera air tangan mak.

Abah hanya memandang Dziyab, memberi kebenaran secara senyap untuk Dziyab meneruskan bicaranya.

“Qistina mengandung. Dah masuk minggu keempat dah.” Senyuman langsung tidak lekang dari bibirnya. Syukurnya dia kepada Allah SWT kerana mereka telah menunggu lebih dari dua tahun sebelum mendapat khabar gembira ini. “Dan kamu berdua,” Dziyab memandang wajah kedua-dua adik perempuannya, “akan menjadi makcik dalam lebih kurang lapan bulan lagi, sementara mak dan abah akan menjadi nenek dan atuk.”



Mak tersenyum senang malam itu, telahannya setelah melihat Qistina sewaktu sampai lewat tengah hari tadi terbukti tepat. Benar, Mak tidak pernah kisahkan apa yang dikata dek orang setelah Dziyab dan Qistina yang telah mendirikan rumahtangga lebih dari dua tahun namun tidak mempunyai anak. Tetapi mak tahu betapa kata-kata orang luar itu menghiris hati Qistina walaupun Qistina sentiasa menidakkan setiap kali Mak bertanya tentang perasaannya. Mak tahu anak dan menantunya itu bahagia –dengan cara mereka – bak kata Dziyab dahulu; namun cakap-cakap begitu kadang-kala sungguh menyakitkan. Dan Mak juga tahun betapa Qistina dan Dziyab sendiri menginginkan cahaya mata secepat mungkin, namun rezeki mereka belum sampai.

Mak tahu malam itu dia akan tidur dengan lena. Mendapat perkhabaran tentang bakal cucu pertamanya membuatkan hatinya lapang – bahagia.



Dan lapan bulan kemudian, Rayyan selamat dilahirkan atas kasih sayang semua disekelilingnya. Namun itu, kisah yang lain pula.

---

notakaki: bahagian I & bahagian II
notakaki ii: rindu sangat kat seseorang. maka tercetus ilham untuk menyambung cerita yang telah lama ditinggalkan ini. selain diilhamkan lagu "pupus" nyanyian kumpulan Dewa dan lagu AiUta dari kumpulan Greeeen.


ただアリガトウじゃ 伝えきれない
泣き笑いと悲しみ喜びを共に分かち合い生きて行こう
いくつもの 夜を越えて
僕は君と 愛を唄おう

Tada arigatou ja tsutaekirenai
Nakiwarai to kanashimi yorokobi wo tomo ni wakachiai ikite ikou
Ikutsumo no yoru wo koete
Boku wa kimi to ai wo utaou

Thank you isn’t enough to say this
Let’s share our tearful smiles and sadness and happiness for the rest of our lives
Night after night
I’ll sing about my love with you

Mimpi tak mampu jadi kenyataan semudah itu. :'(

No comments:

Post a Comment