Wednesday 10 August 2011

Cerpen: Perihal Cinta.

Qistina berjalan perlahan-lahan ke kamar puteranya. Semakin dekat dengan kamar itu, semakin jelas bacaan ayat-ayat suci al-Quran menyapa gegendang telinganya. Senyuman terukir tanpa sedar di bibirnya yang merah merekah. Sampai di pintu kamar puteranya, dia menyandarkan badan di muka pintu; menghayati bacaan ayat suci al-Quran yang tidak pernah untuk tidak melekakannya. Apatah lagi bacaan yang dialunkan oleh suaminya sendiri.

Dziyab yang menyedari dirinya direnung memanggungkan sedikit mukanya, namun tidak langsung memberhentikan bacaan. Tangannya hanya menepuk ruang di sebelahnya, mengisyaratkan agar Qistina duduk di situ.

Memahami isyarat yang diberi, Qistina melangkah perlahan-lahan menghampiri katil Rayyan, namun dia tidak duduk di sebelah Dziyab sebaliknya duduk di sebelah yang bertentangan dengan suaminya. Ditunduk sedikit badannya, mengucup dahi Rayyan dengan penuh hati-hati agar tidak mengganggu tidur puteranya itu.

Qistina terus duduk sambil menghayati detik-detik yang menyelubunginya kini. Adalah satu kelaziman untuk Dziyab untuk menidurkan putera mereka dengan ayat-ayat suci al-Quran, seingat Qistina sejak Rayyan bercerai susu badan. Rayyan kini sudahpun berusia empat tahun. Dan perasaan yang menduduki hatinya ketika ini tidak akan dapat diungkap dengan kata-kata.

Hanya selepas hampir sepuluh minit, barulah Dziyab memberhentikan bacaannya. Setelah dikucup naskhah itu, Al-Quran yang berada di tangannya diletakkan di rak bersebelahan dengan katil Rayyan. Perlahan-lahan Dziyab melangkah ke arah isterinya dan menghulurkan tangan.

Dengan senyuman yang terukir di bibir, Qistina menyambut huluran tangan suaminya. Dengan berpimpin tangan, mereka melangkah keluar dari bilik putera mereka untuk kembali ke kamar mereka.



“Lama ke berdiri tengok abang tadi?” Tanya Dziyab setelah masing-masing duduk di atas katil.

“Taklah. Qis sukalah dengar abang baca al-Quran. Sedap.”

Dziyab menggeleng-gelengkan kepalanya mendengar balasan dari isterinya itu. Segera dicapai tangan isterinya lalu dikucup. “Qistina, sayang tengah mengandung, kan? Janganlah penatkan sangat badan tu. Dahlah sayang baru habis mengemas di dapur.”

“Tak penatlah bang. Berdiri sekejap je tadi tu. Rindu kat abang, tu yang pergi bilik Rayyan tu.” Ujar Qistina sebelum mengenyitkan matanya nakal. Qistina menarik tangan Dziyab sebelum diletakkan di atas perutnya yang sedang membesar, jika dihitung sekarang ini kandungannya hampir mencecah ke bulan yang kelima. “Rasanya baby Rania pun rindukan papa dia.” Dengan senyuman yang melebar, Qistina meluahkan kata-kata itu.

Dziyab mendepakan tangannya lalu menarik Qistina ke dalam pelukannya. “Thank you for everything, Qis dear. Thank you.” Dziyab membisikkan kata-katanya perlahan ke telinga Qistina sambil pelukan kepada isterinya dikejapkan lagi.

Lama Qistina membiarkan sahaja dirinya dipeluk suaminya. Qistina sedar, Dziyab jarang meluahkan perasaan hatinya kerana Dziyab adalah lelaki yang lebih kepada perbuatan dari perkataan. “Dahlah bang, kita tidur, ya?”

“Sahur pagi nanti biar abang yang siapkan, ya? Abang kejutkan pukul 5, boleh?”

Hanya senyuman diiringi anggukan Qistina yang membalas pertanyaan suaminya itu.



Qistina membetulkan baringan. Entah mengapa malam ini sukar sungguh matanya mahu lelap setelah bermimpi sebentar tadi. Qistina memandang Dziyab yang sedang tidur nyenyak. Sekali sekala, terdengar desahan halus nafas suaminya. Dia merapatkan badan dan meletakkan kepala atas dada Dziyab, mendengar setiap degupan jantung suaminya. Tangannya melingkari pinggang suaminya, penuh hati-hati agar tidak mengejutkan suaminya dari lena.

Qistina teringat mimpinya tadi, sebelum dia menerima pinangan Dziyab, ramai yang menyangka bahawa mereka tidak akan bahagia. Jujurnya, dia sendiri tidak menyangka akan menerima pinangan dari Dziyab, teman sekelasnya ketika itu. Dziyab selama mereka menjadi kawan, tidak pernah menunjukkan sebarang tanda meminati dirinya, apatah lagi mereka tidaklah rapat mana sepanjang perkenalan.

Namun kini, hanya pujian kepadaNya yang mampu diucapkan. Qistina bersyukur, dalam pelbagai keraguan dan kegusaran yang dilempar kepadanya, hatinya dibuka untuk menerima Dziyab. Solat istikharahnya dijawab dengan mimpi sebuah keluarga bahagia disisi Dziyab. Dengan hati yang sedikit gementar, pinangan dari pihak Dziyab diterima setelah dua minggu dihulur.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar setelah itu. Benar, satu perkahwinan yang dibina begini bukan mudah untuk masing-masing menyesuaikan diri, namun mujurlah Dziyab banyak beralah. Banyak mengingatkan bahawa masing-masing tidak sempurna, dan apa yang penting adalah mencari definisi bahagia, cara mereka sendiri.

Pegangan di pinggang suaminya dikejapkan sedikit. Tidak langsung menyangka pergerakan yang sedikit itu membuatkan Dziyab terjaga.

Dziyab memandang Qistina yang membalas pandang dengan ucapan ‘maaf’ yang perlahan. Tangannya mengusap rambut Qistina perlahan-lahan. “Sayang, kenapa tak tidur lagi ni?” Baringan dibetulkan, mengiring menghadap Qistina setelah mengalihkan tangan Qistina sedikit yang melingkari pinggangnya sebelum ini. Sengaja dikucup hidung isterinya, nakal. “Come, tell me. Kenapa tak tidur lagi ni?”

“Qis tak tahulah bang. Tak boleh nak lelap pulak mata ni.” Qistina mengeluh perlahan.

Baby Rania tendang sayang ke?” Tanya Dziyab tiba-tiba, wajahnya mempamerkan kebimbangan.

“Hm, taklah. Baby okay je. Mama dia yang tak boleh tidur, tak tahulah kenapa.” Qistina merapatkan badannya ke Dziyab dengan berhati-hati agar tidak terlalu memberi tekanan pada bahagian perutnya. “Qis mimpi tadi. Teringat masa sebelum kita kahwin dulu.”

“Yang mana?” Tanya Dziyab, tidak sabar mendengar cerita Qistina.

“Yalah. Dulu kan ramai yang tak percaya masa abang pinang Qis. Ada yang cakap dekat Qis lagi, yang kalaulah Qis terima pinangan abang masa tu, Qis takkan bahagia.” Dan Qistina terus bercerita, meluahkan pelbagai perkara yang pernah dialaminya suatu ketika dahulu. Ada yang pernah diceritakan sebelum ini kepada Dziyab, dan ada yang baru diceritakan sekarang ini.

“Apa perasaan Qis sekarang?” Tanya Dziyab setelah Qistina habis berbicara. “Qis menyesal tak menerima abang dalam hidup Qis?”

Qistina tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. “Qis tidak pernah menyesal, dan inshaAllah tidak akan menyesal. Menerima abang menjadi sebahagian hidup Qis adalah keputusan yang terbaik pernah Qis buat dalam hidup ini, Qis percaya.”

“Abang pun berharap agar hubungan kita akan kekal. Bukan hanya di sini. Tapi sampai syurga.” Dziyab mengucup dahi Qistina penuh kasih. “Hanya itu yang abang harapkan, sampai bila-bila. Mungkin abang tak sempurna, tapi kita akan berusaha bersama-sama untuk bahagia, kan?”

Dan Qistina hanya mengangguk dalam linangan air mata; bahagia.


---


Kadang-kadang, permintaan yang ringkas itulah yang paling sukar dicari, ditemui, dan dirasai dalam hidup kita. Berharaplah, dan berdoalah yang terbaik itu akan kunjung tiba satu hari nanti. Penantian satu penyiksaan, tapi tanpa merasa susah, kita jarang sekali untuk menghargai kesenangan yang dikecapi. ;) 



(|].^_^.[|) ♪♫~~ Faizal Tahir - Sampai Syurga

No comments:

Post a Comment